Abstrak Dateline 1 Februari 2013
Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Tidak ada negara mampu mencapai kemajuan tanpa memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas dengan pantas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi, dan berpaksikan kepada penjanaan dan penggunaan pengetahuan. Oleh itu, membangun, menarik dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara. Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan ciri ini, usaha perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan bertaraf dunia menjelang tahun 2020.
Pembangunan modal insan
bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan bersepadu
daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat. Sehubungan ini, kolaborasi
antara pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk
meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua
lapisan masyarakat. Pendekatan holistik akan memenuhi keperluan setiap rakyat
Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan.
Profesion pendidikan adalah
asas utama kepada pembentukan dan penglahiran modal insan yang berkualiti.
Aspek pendidikan bukan sekadar apa yang disampaikan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran sahaja tetapi merangkumi sebelum, semasa dan selepas sesuatu
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Bermula dengan idea untuk
menghasilkan sesuatu yang perlu diajar dan dipelajari, menjalankan kajian untuk
membuktikan dan mengesahkan, proses berlaku, apa yang diperlukan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan, kaedah dan teknik, sehingga selesai
sesuatu pengajaran. Pendidikan juga bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga
penerapan nilai, pembinaan karekter, menyediakan persekitaran kondusif, elemen
pengurusan pendidikan, kepimpinan dalam pendidikan dan pelbagai lagi harus
dinilai dan dilihat secara holistik.
Atas kesedaran bahawa pembangunan
profesionalisme perlu sentiasa diperkaya dan diperkemas, maka Persatuan
Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) menerusi Perkama
Consultants Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk menganjurkan Persidangan
Antarabangsa Pendidikan & Kaunseling dan Pertandingan Inovasi Pendidikan
& Kaunseling Kebangsaan. Dengan adanya program seumpama ini, peserta
mendapat pendedahan yang lebih mendalam dan terperinci berkaitan ilmu dalam
bidang pendidikan dan kependidikan. Selain daripada ilmu pendidikan, harapan
yang tinggi kepada peserta agar dapat melahirkan kefahaman yang utuh dalam
perhubungan antara pelbagai budaya bagi melahirkan masyarakat yang sihat.
Layari www.perkamatraining.com
Layari www.perkamatraining.com